Isnin, 26 April 2010

MAKLUM BALAS LPM

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Adiwara, Kluang, Johor” dalam ruangan Surat Kepada Pengarang (Utusan Malaysia bertarikh 21 April 2010 – Lembaga Peperiksaa Malaysia tarik kemudahan - Sumbangan guru tidak dihargai?”

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menghargai dan mengambil maklum pandangan terhadap langkah penjimatan yang dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan yang telah dikemukakan oleh Adiwara.

KPM berterima kasih atas sumbangan para guru yang terlibat dalam membantu melaksanakan pelbagai tugasan berkaitan pengendalian peperiksaan selama ini demi untuk masa depan anak bangsa kita.

Berdasarkan pandangan penulis Adiwara, ingin dijelaskan bahawa, kementerian khususnya Lembaga Peperiksaan, tidak pernah menarik balik sebarang kemudahan yang diperuntukkan kepada guru yang melaksanakan pelbagai tugasan yang berkaitan peperiksaan. Walau bagaimanapun beberapa langkah penjimatan telah diambil berdasarkan Surat Arahan (Pekeliling) Perbendaharaan bertarikh 17 Disember 2009. Arahan ini adalah meliputi semua kementerian dan agensi kerajaan.

Perlu dijelaskan bahawa, langkah penjimatan yang diambil oleh Lembaga Peperiksaan hanya merupakan langkah sementara bagi memastikan semua urusan pengoperasian peperiksaan dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

Kemudahan penginapan yang disediakan untuk guru yang bertugas dan pemilihan tempat mesyuarat adalah memenuhi ciri-ciri keselamatan yang terkandung dalam Arahan Keselamatan yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan, Jabatan Perdana Menteri.

Mesyuarat telah diadakan di premis Lembaga Peperiksaan sama ada di Jalan Duta atau pun Putrajaya bagi memastikan aspek keselamatan dan prosedur pengoperasian peperiksaan dipatuhi. Untuk makluman, premis Lembaga Peperiksaan diklasifikasikan sebagai kawasan larangan. Pemilihan premis juga turut mengambil kira teguran Bahagian Audit Dalam KPM yang menyatakan bahawa premis Lembaga Peperiksaan di Jalan Duta dan Putrajaya adalah tempat yang terbaik dari segi keselamatan.

Mesyuarat di luar premis Lembaga Peperiksaan hanya diadakan sekiranya bilik mesyuarat di Lembaga Peperiksaan tidak mencukupi. Walau bagaimanapun pemilihan hotel dilaksanakan mengikut prosedur kewangan yang telah ditetapkan.

KPM amat prihatin dengan kesulitan yang dialami oleh para guru. Walau bagaimanapun semua pihak perlu berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan dan keperluan semasa.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

0 Comments:

 

blogger templates 3 columns | Make Money Online